Post Icon

KPDNKK kurang terima aduan

HASAN Malek dan Mohd. Sabri Abd. Malek (tengah) merasmikan bangunan baharu Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen di Oakland Industrial Park, Seremban, semalam.
SEREMBAN 7 Sept. - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menjelaskan, kementerian itu kurang mendapat aduan kenaikan harga barang daripada orang ramai berikutan kenaikan harga petrol dan diesel baru-baru ini.
Bagaimanapun, Menterinya, Datuk Hasan Malek berkata, kementerian itu akan terus memantau harga makanan dan barangan serta meminta orang ramai menyalurkan aduan jika ada peniaga yang menaikkan harga sesuka hati.
Kata beliau, pada hari pertama kenaikan bahan api itu pihaknya hanya menerima tiga aduan berhubung kenaikan harga makanan di Lembah Klang.
"Kita akan menghantar pegawai menyiasat apabila menerima aduan bagi membolehkan tindakan sewajarnya dikenakan terhadap peniaga terbabit.
"Sehingga kini aduan yang kita terima masih sedikit sekali gus menunjukkan kenaikan harga bahan api ini tidak memberi kesan yang signifikan terhadap harga barangan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar selepas merasmikan bangunan baharu Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen di Oakland Industrial Park, di sini hari ini.
Yang hadir sama, Presiden Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen, Mohd. Sabri Abd. Malek.
Bagaimanapun, katanya, jumlah keseluruhan aduan dan tindakan yang telah diambil oleh pihaknya akan diumumkan tidak lama lagi selepas semua data telah diperolehi.
Tegasnya, kenaikan harga barangan yang tinggi tidak sepatutnya berlaku kerana kenaikan harga petrol RON 95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter hanya memberi kesan terhadap kos perniagaan sekitar 0.1 hingga 1.3 peratus.
"Saya tidak mahu lagi memberi amaran dan peniaga yang didapati mengambil kesempatan dengan menaikkan harga sesuka hati kita akan ambil tindakan tegas mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment